Asset 1

Victor Espindola ada pakej lengkap untuk menyerlah di Malaysia

Ketua jurulatih Gerard Casas percaya penjaga gol import, Victor Espindola tidak akan berdepan masalah untuk menyerlah dalam saingan Malaysian Futsal Premier League.

Sebagai rekod, Pahang Rangers membuat keputusan mengisi satu-satunya slot import dengan membawa masuk penjaga gol tinggi lampai dari Brazil itu pada bulan Mei lalu.

Gerard memberitahu beliau telah memantau Victor Espindola sejak sekian lama dan menyifatkan pemain itu mempunyai pakej lengkap.

“Musim ini saya menonton semua perlawanan yang dia bermain dalam Divisyen Satu Sepanyol, jadi boleh katakan saya mengenali permainannya dengan cukup baik.

“Bukan aksi dia sahaja yang menarik perhatian tetapi dia seorang penjaga gol yang cukup lengkap. Dia muda, sentiasa bekerja keras, seorang pemain pasukan yang baik.

“Fizikal, skill, kualiti, kekuatan dan perwatakan dia adalah cukup sempurna untuk futsal Malaysia. Dari permainan dia, dia seorang yang sangat sesuai untuk futsal Asia dan Malaysia,” kata Gerard.

Gerard juga berpendapat Victor akan mudah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan meskipun sehingga kini dia belum bertemu mana-mana pemain secara bersemuka sebaliknya hanya menjalani latihan secara online.

“Saya percaya dia akan cepat menyesuaikan diri, kerana dia boleh berbahasa inggeris, berpendidikan tinggi dan berfikiran terbuka. Bahasa, makanan, dan perbezaan budaya bukan satu masalah, dia suka belajar benda baru malah mempunyai nilai kemanusiaan cukup tinggi.

“Expetasi saya terhadap dia, dia akan terus komited, bekerja keras, jaga atitud dan mendahulukan kepentingan pasukan berbanding kepentingan peribadi. Bukan dia sahaja, tetapi saya mahu semua pemain memberikan 100 peratus demi pasukan, jangan pentingkan diri, itu sudah memadai.

“Selebihnya adalah tanggungjawab saya untuk menurunkan siapa, untuk meletakkan kombinasi terbaik dan merencana taktikal terbaik,” ujar Gerard.