Moh Sepak Mula Aksi di SUKPA Dengan Kemenangan!

Moh Sepak Mula Aksi di SUKPA Dengan Kemenangan!

Kapten Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris menegaskan tiga mata adalah sasaran wajib apabila turun menentang Selangor dalam aksi kedua Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2024 pada Ahad ini di Stadium Tertutup SUKPA. 


“Kita tercicir dua mata tempoh hari dan kali ini kita tidak boleh tercicir lagi, memang ia akan menjadi perlawanan yang cukup sukar, apatah lagi Selangor tewas perlawanan pembukaan. Mereka datang ke sini ibarat harimau terluka dan sudah tentu turut mensasarkan kemenangan. 


“Tetapi kita beraksi di gelanggang sendiri, di hadapan penyokong sendiri, SUKPA sentiasa menjadi gelanggang keramat kita, penyokong kita akan menjadi tonik dan kita mahu bermula di SUKPA dengan langkah kanan. Kita mahu hadiahkan tiga mata pertama musim ini kepada penyokong. 


“Apa yang penting adalah kita mesti perbaiki setiap kesilapan ketika seri dengan Shah Alam City minggu lalu dan tampil dengan mentaliti serta semangat yang lebih tinggi. Kita boleh lakukannya,” kata Akmarulnizam. 


Sebagai rekod, musim lalu Pahang Rangers bertemu Selangor FC (sebelum ini dikenali dengan nama Selangor MAC) dua kali, di mana kita menyingkirkan mereka di peringkat separuh akhir MPFL 2023. 


Pertembungan di SUKPA menyaksikan skuad Gerard Casas mencatat kemenangan tipis 4-3 manakala dalam aksi timbal balik di Kompleks Sukan Panasonic berkesudahan seri penuh dramatik 3-3 sekaligus membawa kita ke final untuk bertemu JDT. 


Satu lagi aksi sengit dan menghiburkan dijangka pada Ahad ini, kepada penyokong kesayangan Pahang Rangers, kita jumpa nanti di SUKPA!