Pahang Rangers FC merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada lima pemain yang tidak lagi akan bersama pasukan bagi mengharungi musim baru Malaysian Premier Futsal League.
Empat pemain iaitu Victor Espindola, Farikh Khabibor Rahman, Fakhrul Islam dan Shafiq Hamzah meninggalkan kelab setelah kontrak mereka tamat pada 30 November lalu, manakala kontrak Yazid Kamaruzuan pula tamat lebih awal pada 31 Ogos.
Sebagai rekod, Victor hadir mengisi kuota import pasukan bagi musim 2022, beraksi cemerlang mempertahankan gawang dan bolos paling sedikit dalam kempen MPFL malah turut mencipta momen menarik apabila menjaringkan dua gol selain mencatat dua assist.
Farikh pula menyertai pasukan pada 2021 setelah meninggalkan Perak dan telah memukau penyokong menerusi aksi lasak dan agresifnya.
Kelibat Yazid juga pastinya dirindui, setelah pemain itu menjadi salah seorang sandaran utama Gerard Casas dalam kempen musim ini. Yazid menyarung jersi PRFC buat kali kedua bermula 2021 setelah penampilan sulung pada 2018.
Manakala Syafiq atau Gedong pula yang merupakan salah seorang anggota paling lama di dalam skuad memilih mencari angin baru dalam karier selepas lima tahun bersama pasukan. Gedong merupakan penjaga gawang utama PRFC sebelum kehadiran Victor.
Sementara itu, walaupun bersama pasukan untuk tempoh singkat, sumbangan Fakhrul Islam yang telah bersama PRFC sejak bulan Jun, tetap dihargai. Pemain muda ini dibawa masuk untuk memperkasa skuad dalam Piala Futsal Malaysia setelah tampil cemerlang dalam saingan MPFL bersama Kedah.
Sekali lagi, kepada semua lima pemain ini, terima kasih diucapkan kerana telah memberi komitmen dan berjuang sepenuh hati sepanjang menyarung jersi Pahang Rangers, kami ucapkan semoga terus berjaya.
Segala keringat yang dicurahkan untuk PRFC, akan tetap terpahat selamanya dalam kenangan. Hitam putih takkan padam!