Skuad Pahang Rangers pulang dari menyertai Piala Futsal AFF 2021 baru-baru ini dengan pencapaian menduduki tangga keempat daripada lima pasukan yang bertanding.

Satu kemenangan dan tiga kekalahan dilakar pasukan bimbingan Gerard Casas dalam penyertaan sulung di pertandingan peringkat serantau itu.

Pahang Rangers memulakan kempen dengan kekalahan 0-2 di tangan Port FC disusuli kekalahan 1-5 kepada Selangor MAC sebelum bangkit mengatasi wakil Kemboja, Mohahang All Stars 12-2.

Dalam aksi terakhir, Pahang Rangers tewas 1-10 kepada Chonburi Bluewave yang kemudiannya muncul juara Piala AFF Futsal 2021.

Bagi Gerard Casas, beliau mengakui persiapan yang tidak mencukupi menjadi faktor utama pasukan gagal memberikan saingan selain mengakui tahap futsal Thailand sudah begitu jauh ke depan.

Namun beliau gembira kerana di sebalik kempen yang mengecewakan, Pahang Rangers pulang dengan pengalaman dan pengajaran yang bermanfaat.

“Kita tidak bermain dalam sebarang perlawanan liga mahupun kompetitif untuk hampir setahun setengah dan hanya berlatih dua minggu, selepas lockdown selama empat bulan. Ini berbeza dengan Thailand yang telah berlatih sejak beberapa bulan lalu dan turut diperkuatkan dua import dari Brazil.

‘Secara jujurnya kita tahu kita tidak boleh menyaingi pasukan dari Thailand, kerana kita bertandang ke sini tanpa beberapa pemain kebangsaan yang terpaksa ditinggalkan di Malaysia.

“Kami datang dengan skuad serba serbi muda namun walaupun begitu kita berjaya memberi saingan kepada Port FC yang merupakan antara gergasi futsal Thailand.

Gerard Casas

“Walaupun tewas 2-0 kita mempunyai enam peluang menjaringkan gol dan kita sebenarnya berdepan masalah penyudah sepanjang kempen berlangsung. Kita tidak menyerang dengan baik terutama ketika serangan balas tetapi bermain baik ketika bertahan.

“Mereka tidak mencipta banyak peluang tetapi berjaya mendapatkan dua gol, apabila kita tidak memanfaatkan peluang, kita dihukum dan itulah yang berlaku,” ujar Gerard.

Gerard menegaskan perkara sama berlaku ketika perlawanan menentang Selangor MAC.

“Statistik menunjukkan kita melakukan lebih banyak percubaan berbanding lawan di mana kita ada 19 peluang terbuka namun hanya berjaya menjaringkan satu gol.

“Kita melakukan 20 percubaan tepat dan 25 percubaan off-target, dan saya boleh katakan penjaga gol mereka adalah pemain terbaik pada perlawanan itu.

“Ia adalah perlawanan seimbang, ada ketika mereka bermain lebih baik dan ada ketika kita bermain lebih baik, tapi mereka memanfaatkan peluang. Apabila kita bermain dengan baik kita mencipta banyak peluang tetapi kesilapan kita adalah kita tidak menyudahkannya.

“Berbanding lawan yang mencipta peluang, memanfaatkan serangan balas, dan memanfaatkan kesilapan mudah dilakukan pemain kami untuk menjaringkan gol, mungkin kerana pemain-pemain ini masih muda dan mentah maka kesilapan berlaku.

“Kita perlu skor apabila kita mencipta peluang dan tidak boleh memberikan situasi serangan balas mudah kepada lawan pada ketika kita sedang bermain dengan baik. Jadi ini adalah satu pengajaran serta pengalaman yang cukup berguna,” ujar Gerard lagi.

Mengenai kekalahan besar di tangan Chonburi Bluewave, Gerard mengatakan faktor kecergasan dan kecederaan menyebabkan mereka tidak langsung mampu melawan.

“Kita datang tanpa lima pemain tonggak dan menuju ke perlawanan terakhir kehilangan lagi tiga pemain tonggak iaitu Awalluddin, Akmarulnizam dan Farhan kerana kecederaan. Ini menjadikan hanya Khairul Effendy seorang sahaja pemain senior di dalam pasukan selebihnya pemain muda.

“Secara jujurnya mereka hanya boleh bermain tujuh minit, selepas itu tidak mampu melakukan apa-apa. Tidak dapat bertahan mahupun menyerang membolehkan lawan menjaringkan banyak gol.

“Saya rasa kita telah bermain dengan baik dalam tiga perlawanan pertama mengambil kira masalah kecergasan, pengalaman dan penyudah. Tetapi perlawanan terakhir menentang Chonburi adalah satu reality di mana tahap kita yang sebenar.

“Mereka lebih banyak berlatih dan sentiasa bertambah baik dan kita perlu belajar daripada mereka,” katanya.

Close
Close
Sign in
Close
Cart (0)

No products in the cart. No products in the cart.