Asset 1

Mahadir idam sarung jersi Harimau Malaya

Melihat ramai rakan sepasukan bermain bersama skuad kebangsaan, menimbulkan keinginan sama dalam diri Mahadir Harahap Khairuddin.

Justeru pemain berdarah kacukan Malaysia-Thailand ini tekad meningkatkan prestasi bersama Pahang Rangers bagi memenangi kepercayaan barisan kejurulatihan Harimau Malaya.

“Tahun pertama saya dengan PRFC, saya telah dipanggil mewakili skuad B-20 kebangsaan. Tipula kalau kata tak ada keinginan untuk bersama skuad senior, lebih-lebih lagi ramai pemain dari PRFC mendapat call-up.

“Ia akan menjadi satu penghormatan untuk bermain dengan pasukan negara dan saya yakin boleh realisasikan impian itu melalui PRFC.

“Saya tahu ia bukan mudah, kena buat banyak kerja rumah dan banyak kena diperbaiki. Saya berterima kasih kepada Coach Gerard yang banyak menyuntik keyakinan.

“Hakikatnya saya telah rugi satu tahun (2020) kerana liga dibatalkan dan berharap akan diberi lebih peluang tahun ini untuk membuktikan kredibiliti saya kepada pasukan.

“Yang penting sekarang kita semua harapkan liga berlangsung sepertimana dirancang pada awal September,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Sebagai rekod, antara pemain kebangsaan di dalam skuad adalah Khairul Effendy Bahrin, Abu Haniffa Hasan, Farikh Khabibor Rahman, Harith Naim Mohd Nasir, Saiful Nizam Mohd Ali, Awalluddin Mat Nawi dan Ridzwan Bakri.

Sementara itu, mengenai perkembangan diri sepanjang lebih dua bulan sesi latihan bersemuka ditangguhkan, Mahadir atau mesra disapa bro Thai berkata dia ketika ini fokus untuk memastikan kecergasan berada di tahap terbaik.

“Sekarang online training mengikut jadual ditetapkan. Memang berbeza lah berbanding training kat court, kaki pun dah keras dah lama tak main futsal. Tapi setidaknya membantu kita untuk jaga stamina dan kecergasan,” ujarnya yang berazam membantu PRFC muncul juara MPFL 2021.