Asset 1

Harith Naim harap badi kecederaan berakhir

Badi kecederaan yang silih berganti menghantui sejak enam bulan lalu, tidak membuatkan pemain muda Harith Naim Mohd Nasir berputus asa.

Pemain berusia 21 tahun itu tersisih daripada latihan dan juga perlawanan pra-musim setelah mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang pada bulan Mac lalu, dan dinasihatkan supaya berehat paling kurang 12 minggu.

Ketika ini proses pemulihan pemain itu berada di fasa akhir, dan dia meletak harapan tinggi dapat kembali menyertai pasukan dengan semangat dan tenaga baru apabila sesi latihan kembali bersambung.

“Mula-mula saya alami kecederaan buku lali, dah pulih kena lutut pula. Lepas tu PKP, dah pulih lutut, kena pula cedera tulang belakang (lowerback), kira one after another.

“Saya telah menerima suntikan pada bulan Mac, kira dah hampir tiga bulan. Sekarang sedang beransur pulih, memang bukan mudah, tapi saya cuba untuk sentiasa positif kerana saya seorang fighter.

“Harap badi kecederaan ini akan berakhir, saya mahu segera kembali ke dalam skuad dan membantu perjuangan pasukan, selain memenangi semula tempat di dalam skuad kebangsaan. Jika ada rezeki saya mahu tersenarai dalam skuad Piala AFF nanti.”

Sebagai rekod, Harith Naim merupakan pemain paling lama menyarung jersi Pahang Rangers, sejak pasukan ini ditubuhkan pada Disember 2016. Dia juga telah menyarung jersi pasukan senior kebangsaan bermula 2018.