Komitmen sebagai pemain futsal tidak sesekali menjadi penghalang buat Akram Mukhriz Muhamadiah (Goblin) untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang diminati.
Mungkin tidak ramai yang tahu, pemain berusia 19 tahun itu merupakan penuntut Diploma di KPTM Bangi dalam jurusan Pengurusan Sukan, dan kini dalam persediaan menduduki peperiksaan akhir semester tiga.
Ternyata kesedaran mengenai kepentingan pendidikan cukup tinggi dalam diri pemain muda ini yang menyertai Pahang Rangers pada 2020.
“Memang dari dulu saya nak sambung belajar, daripada habis SPM dan saya pun memang tak minat bidang lain selain sukan. Masa sekolah ada ambil Sains Sukan, syukur diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang sama.
“Jadi sambil bermain futsal saya boleh tolong orang dengan pengetahuan yang ada, sebab pendidikan dalam sukan berkait rapat dengan apa yang kita buat dalam kehidupan harian.
“Lagi satu sememangnya pendidikan bagi ahli sukan sangat penting, sebab karier kita ada had umur untuk bermain, sehingga sampai satu tahap, bukan boleh bertahan lama.
“Jika mahu terlibat pula sebagai jurulatih selepas usia 30 atau 40 tahun, perlu ada pendidikan. Malah, jika tidak mahu terlibat dalam sukan sekalipun selepas itu, kena ada pendidikan untuk masa depan,” ujarnya.
Mengenai bagaimana dia membahagikan masa untuk memberi komitmen kepada Pahang Rangers dalam masa sama fokus kepada pembelajaran, ini jawapan Goblin.
“Kira ok lah masih boleh fokus dan perform dalam kedua-duanya lagipun ketika semester satu sahaja (Julai 2020) masuk kelas. Masa tu PRFC belum turun berlatih kerana sektor sukan belum bukak. Jadi sempat masuk kolej untuk satu semester.
“Kemudian sepanjang PKP ini kira mudah juga, kadang training ada, kelas tak ada. Kadang kelas ada, training tak ada. Lagipun sekarang kelas online, jadi tiada masalah sangat.
“Pelepasan pun boleh mintak, surat semua pihak pengurusan PRFC uruskan. Jadi takde masalah bahagikan masa, kalau malas tu alasan sendiri.
“Sekarang sesi latihan takde, buat latihan secara online sepertimana jadual diberikan coach, jadi saya tinggal menyewa di Bangi dengan duit gaji yang saya dapat untuk setelkan assignment dan juga final exam.
“Memang belajar sambil ada karier ni sibuklah sikit, macam-macam kena buat. Kena fikir assignment, kena fikir latihan. Saya pun baru merasa semua ini, jadi tak banyak pengalaman sangat, belum nampak hasil dia macam mana,” ujarnya.