Asset 1

Apan Buru Penawar, Mahu Tebus Kesilapan 2019

ika ada satu perlawanan yang tidak boleh dilupakan Muhammad Farhan Khairul Anuar (Apan) dalam perjalanan kariernya, ianya adalah aksi menentang Perak di Sukpa dalam saingan MPFL 2019.

Perlawanan kedua terakhir bagi edisi sulung MPFL itu berkesudahan seri 3-3 lantas menyaksikan PRFC tercicir mata penting, sekaligus gagal mengejar Selangor yang kemudiannya dinobatkan sebagai juara.

“Ada beberapa perlawanan yang mana kita tidak sepatutnya cicirkan mata, tapi aksi menentang Perak adalah paling menyakitkan.

“Sehingga sekarang saya masih menyalahkan diri sendiri kerana menjadi punca Perak mendapat gol ketiga. Sepatutnya saya terus clear bola tapi lambat cuba untuk dribble dalam kawasan sendiri membolehkan bola dirampas Awal dan disudahkan oleh Iwan (Ridwan Bakri).

“Kita berjaya menyamakan kedudukan tetapi pemburuan kejuaraan berakhir pada malam itu, memang rasa down dan bersalah sangat. Saya tekad mahu menebus kesilapan itu dengan membantu pasukan muncul juara kali ini,” ujarnya.

Bagi pemain berasal dari Selangor ini, tiada satu pun pasukan yang boleh dipandang enteng dalam saingan MPFL 2022 kerana semuanya membuat persiapan rapi dan diperkuatkan pemain-pemain berpengalaman.

“Dari pra-musim yang kita harungi, memang diakui semuanya lawan sukar dan kita perlu anggap semua aksi seperti final. Baik ianya pasukan baru seperti Negeri Sembilan, PDRM, Shah Alam atau pasukan pilihan seperti Selangor MAC, semua pasukan ada kekuatan mereka. Jadi kami tidak boleh mengambil mudah mana-mana perlawanan.”

Mengenai sasaran peribadi, Apan berharap dapat menjaringkan lebih banyak gol dalam saingan kali ini sekaligus memperbaiki catatan empat gol dalam MPFL 2019.

“Kalau boleh target paling kurang 10. Keseluruhannya ada 14 perlawanan jadi saya rasa ia realistik, dalam tempoh masa berbaki sebelum sepak mula ini saya kena lebih bekerja keras meningkatkan sentuhan agar boleh tampil lebih baik dari 2019. Ada rezeki, saya mahu bermain untuk Malaysia,” katanya lagi.