Dua pemain berpengalaman, Sufri Shamil dan Fakhrul Islam Anizam menjadi rekrut terbaru Pahang Rangers yang kini dalam persediaan menghadapi saingan Piala Futsal Malaysia bermula 18 Jun ini.
Sebagai rekod, Sufri dan Fakhrul Islam mempunyai CV yang membanggakan dalam arena futsal tanah air dan masing-masing bukanlah nama asing dalam kalangan peminat.
Pernah memenangi kejuaraan Liga IPT selama tiga tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2019, Sufri juga merupakan pemenang MPFL 2019 bersama Selangor dan pada tahun ini telah tampil cemerlang membantu Negeri Sembilan menamatkan saingan MPFL 2022 di tangga ketiga.
Ini menyaksikan pemain kelahiran Kuala Lumpur ini mendapat ‘call-up’ ke kem skuad kebangsaan dan telah menjadi sebahagian daripada skuad yang beraksi di Kejuaraan AFF serta Sukan SEA 2021 baru-baru ini.
Manakala Fakhrul Islam pula merupakan produk Liga IPT dan membina nama bersama skuad Liga Futsal Kebangsaan Perak yang muncul naib juara pada 2018.
Pemain yang mesra disapa Pakoi ini juga pernah bersama dua lagi pasukan utara tanah air iaitu Pulau Pinang pada 2019 dan tahun ini bersama Kedah di mana dia menjaringkan sembilan gol.
Selamat datang diucapkan kepada kedua-dua pemain!