Tonggak Pahang Rangers, Saiful Nizam Mohd Ali mengakui tidak sabar untuk meneruskan sentuhan jaringan cemerlangnya dalam Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL).
Saiful Nizam yang menaruh impian mengekalkan gelaran penjaring terbanyak MPFL musim lalu masih menanti pengumuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai bila saingan itu akan disambung semula.
Dia meledak dua gol dalam aksi sulung MPFL musim ini ketika membantu Pahang Rangers menewaskan Sarawak 9-1 pada pertengahan Mac lalu sebelum liga kemudiannya ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
“Saya harap dapat meningkatkan prestasi dan mengulangi gelaran penjaring terbanyak sekali lagi. Tapi itu bukan sasaran utama saya.
“Keutamaan saya untuk membawa Pahang Rangers bergelar juara. Kalau dapat penjaring terbanyak itu dikira bonus buat saya.
“Tapi bukan mudah untuk melakukannya kerana prestasi pasti sedikit terjejas apabila berehat lama disebabkan COVID-19. Saya kena kerja keras dan harap semua pemain dapat mengekalkan disiplin untuk kekal cergas,” kata Saiful Nizam.
Saiful Nizam berkongsi kedudukan penjaring terbanyak MPFL musim lalu bersama dua lagi pemain kebangsaan Fariq Ahmad (Selangor) dan Ridzwan Bakri (Perak) dengan 18 gol.