Kapten Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris meletakkan harapan tinggi penularan wabak COVID-19 segera reda sekali gus menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Meskipun sedar PKP berpotensi dilanjutkan berdasarkan kepada situasi semasa, Akmarulnizam mengakui tidak mustahil Malaysia dapat memerangi pandemik itu sekiranya semua pihak memainkan peranan dan menunjukkan kesedaran dengan mengikut arahan ditetapkan kerajaan.

“Saya yakin tiada siapa mahu berkurung untuk tempoh lama, lebih-lebih lagi pemain seperti kami. Walaupun tetap menjalani latihan, ia sesuatu yang janggal untuk berlatih sendirian dan ia tidak sama dengan latihan di gelanggang.

“Kalau untuk sementara waktu, tiada masalah tetapi jika terlalu lama, susah juga untuk memastikan fizikal dan mental dalam keadaan terbaik.

“Kita juga perlu sedar apabila kemelut Covid-19 sudah berakhir, kita bukan boleh terus turun berlatih. Ia akan mengambil masa memastikan semuanya betul-betul selamat

“Jadi, patuhilah semua arahan untuk kita bersama membantu kerajaan dan barisan hadapan. Saya percaya kita boleh memenangi peperangan ini jika bersatu hati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Akmarulnizam berpuas hati selepas dapat kembali beraksi buat pertama kali selepas hampir setahun setengah ketika menentang Sarawak pada aksi sulung Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), bulan lalu yang berakhir dengan kemenangan 9-1 buat Pahang Rangers.

“Ia perlawanan penuh pertama saya selepas 18 bulan. Saya tersisih sepanjang pusingan kedua Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 sebelum mengalami kecederaan ‘Anterior Cruciate Ligament’ (ACL) pada perlawanan pertama musim lalu.

“Saya gembira untuk kembali beraksi dan membalas kepercayaan jurulatih dengan aksi bertenaga. Saya harap ini akan menjadi permulaan baharu dalam karier saya,” katanya.

Close
Close
Sign in
Close
Cart (0)

No products in the cart. No products in the cart.