Asset 1

“Ini Kecederaan Terburuk Dalam Karier Saya” – Awalluddin

Bintang muda Pahang Rangers FC, Awalluddin Mat Nawi mengakui terkilan hanya sempat bermain empat perlawanan dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2022 yang sedang berlangsung ketika ini.

Awalluddin yang juga asset skuad kebangsaan bermula dengan cukup baik apabila menjaringkan gol dalam dua perlawanan awal ketika PRFC membenam Pulau Pinang dan Perak.

Namun, malang buat pemain kelahiran Kelantan itu apabila mengalami kecederaan lutut ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan keempat yang menyaksikannya terpaksa melupakan kempen musim 2022.

Awalluddin disahkan mengalami kecederaan lutut berganda Posterior Cruciate Ligament (PCL) dan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kiri.

“Tak pernah terfikir akan alami kecederaan seteruk ini, ini kecederaan terburuk pernah dialami sejak saya mula bermain futsal.

“Agak sedih dan terkilan kerana saya memulakan musim dengan harapan yang cukup tinggi mahu membawa impak yang besar seterusnya menjadikan 2022 musim yang cukup gemilang untuk pasukan dan juga diri sendiri.

“Sejak menyertai Pahang Rangers, saya belum dapat tunjukkan potensi diri yang sebenar. Pada 2020, hanya bermain satu perlawanan kemudian liga dibatalkan dan baru kembali disambung pada tahun ini. Hampir dua tahun menunggu, agak kecewa hanya dapat bermain beberapa perlawanan sahaja.

“Saya berharap pasukan akan terus berada pada prestasi yang baik, dan berjaya untuk memenangi kejuaraan liga buat pertama kali,” katanya yang berusia 24 tahun.

Awalluddin merupakan salah seorang pemain muda paling menyerlah dalam kancah futsal tempatan sejak beberapa tahun lalu malah dilabel ramai sebagai bintang masa depan.

Dia mencipta sensasi dalam saingan MPFL 2019 apabila berganding cemerlang dengan seorang lagi tonggak kebangsaan, Ridzwan Bakri ‘the dribble king’ untuk membantu Perak muncul naib juara.

Kedua-dua pemain itu kemudiannya menyertai Pahang Rangers pada 2020 dalam apa yang disifatkan sebagai salah satu perpindahan berprofil tinggi dalam arena futsal tanah air.