Meskipun baru sahaja menjadi ahli keluarga PRFC pada Mei lalu, Fakhrul Islam Anizam atau lebih mesra disapa Pakoi telahpun menetapkan sasaran untuk digapai.
Pivot berasal dari Kedah ini mahu memulakan penggembaraannya bersama PRFC dengan membantu pasukan menjulang Piala Futsal Malaysia yang bermula 18 Jun depan.
“Saya datang dengan satu tekad, mahu mengembangkan potensi diri, mencari lebih pengalaman dan tidak mahu menunggu lama untuk mengatakan bahawa saya mahu menang piala.
“Saya tahu pasukan ini ada pemain dan barisan kejurulatihan berkualiti serta berpengalaman, ramai pemain di sini telah bermain bersama sejak beberapa tahun dan mereka telah melalui pelbagai proses yang menjadikan PRFC semakin matang dan saya gembira menjadi sebahagian daripada mereka.
“Memenangi Piala Malaysia akan menjadi penawar terbaik selepas terlepas gelaran liga, memang bukan mudah kerana semua pasukan juga membuat persiapan rapi.
“Kami semua tahu tiada pasukan yang boleh dipandang enteng, kunci utama di sini adalah percaya kepada proses yang kami lalui, percaya kepada rakan sepasukan dan percaya kepada diri sendiri,” kata Pakoi.
Sebagai rekod, pemain berusia 24 tahun ini menjaringkan 9 gol bersama Kedah dalam saingan MPFL 2022 yang menutup tirai Mac lalu.
Pahang Rangers akan menyepak mula kempen Piala Futsal Malaysia yang dianjurkan pertama kali, dengan menentang pasukan Terengganu. Aksi pertama dijadual berlangsung di SUKPA pada 18 Jun, manakala aksi timbal balik di Kompleks Sukan Panasonic pada 25 Jun.