Dua gol di penghujung perlawanan menerusi taktikal powerplay membantu Pahang Rangers bangkit mencatat keputusan seri 6-6 dalam aksi pembuka tirai Malaysian Premier Futsal League 2024.
Perlawanan yang berlangsung sengit di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, menyaksikan Pahang Rangers yang turun dengan status juara bertahan mengambil masa hanya lima minit untuk mendahului 2-0 menerusi jaringan Felipe de Souza dan Amirul Khairuddin.
Begitupun, tuan rumah kembali dalam permainan menerusi jaringan Zainal Abidin Hamzah disusuli Razin Rahim untuk mengikat kedudukan 2-2, seterusnya menambah dua lagi jaringan menerusi Isaias Figueiredo dan Zainal Abidin untuk mendahului 4-2.
Perlawanan semakin rancak apabila Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lalu, Harith Naim Mohd Nasir menjaringkan dua gol pada minit ke-19 dan 23 untuk memastikan kedudukan kembali terikat.
Tonggak PRFC tahun lalu, Farhan Anuar kemudiannya menjaringkan dua gol untuk Shah Alam meraih kelebihan 6-4 memaksa Gerard Casas untuk bermain taktikal powerplay.
Ia membuahkan hasil apabila Murilo Carlos Saad berjaya mengurangkan defisit pada minit ke-37 dan gol penyamaan hadir seminit kemudian menerusi Harith Naim yang melengkapkan hatriknya dengan menolak masuk percubaan Murilo.
Meskipun tidak dapat memulakan kempen musim baru dengan kemenangan, ia tetap satu mata yang cukup berharga dan permulaan positif buat Pahang Rangers yang dibarisi lebih separuh pemain baru.
Pasukan seterusnya akan menentang bekas juara, Selangor FC di SUKPA pada 25 Februari.