Ketua jurulatih, Gerard Casas memberikan kredit kepada penyokong selepas Pahang Rangers melakar kemenangan sulung dalam saingan Malaysia Premier Futsal League musim ini.
Gerard menyifatkan mustahil untuk pasukan dapat mencatat kemenangan dominan ke atas pasukan kuat seperti Selangor, jika tidak kerana sorakkan penyokong yang membangkitkan keghairahan dalam diri pemain.
"Dari sepak mula, penyokong meniup semangat itu ke dalam diri pemain. Sorakkan mereka membuatkan lawan seperti gementar dan hilang fokus, membolehkan kita mendominasi perlawanan dari awal.
"Memang saya mahu jaringan awal, tetapi untuk mendahului 4 gol selepas 10 minit nyata sesuatu yang mengejutkan saya sendiri.
"Kita bermula dengan agak goyah di separuh masa kedua, namun sekali lagi penyokong memainkan peranan penting, mereka tidak putus bersorak, mereka berdiri teguh di belakang pemain dan pemain menjadi lebih ghairah.
"Ia membuatkan saya yakin kita akan menambah jaringan dan kita melakukannya. Kemenangan ini hadiah buat para penyokong," kata Gerard.
Dalam aksi pada Ahad, Pahang Rangers melakar kemenangan 8-4 ke atas Selangor menerusi hatrik jaringan Felipe de Souza dan Hamdin Zarif Mahmun, manakala Murilo Saad dan Amirul Khairuddin menjaringkan satu gol.